Friday, March 09, 2007

Pemilik Bangunan digertak, "Jangan bagi Keadilan Sewa"

OLEH Khairuddin Mohd

BATU PAHAT (9 Mac 2007) ~ Ada pihak yang dipercayai rapat dengan pemimpin politik pemerintah mengertak pemilik sebuah bangunan di Taman Perindustrian Parit Sulong dekat sini agar tidak menyewakan bangunan kepada Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) bahagian untuk dijadikan Ibu Pejabat Parti.

Menurut sumber berkenaan, pihak yang rapat dengan pemimpin politik itu memberikan tekanan sejak tersebar berita bahawa Keadilan Bahagian Parit Sulong akan segera membuka pejabat bahagian di kawasan berkenaan.

“Saya ada berjumpa dengan pemilik bangunan itu semalam dan beliau berkata yang beliau mula menerima tekanan dan ugutan agar jangan menyewakan bangunan ini kepada Keadilan,” kata sumber itu hari ini ketika dihubungi Blog Parit Sulong.

Menurut sumber itu lagi, pihak Umno-BN sangat bimbang pengaruh Keadilan yang semakin berkembang di kawasan Parlimen Parit Sulong sejak hampir setahun lalu, terutama sejak kepimpinan bahagian dibarisi pimpinan lama dan nama-nama baru. Bahagian Parit Sulong kini diketuai oleh Hasmi Hashim, 31, yang menang tanpa bertanding di dalam Mesyuarat Agung Bahagian pada 21 Februari lalu.

“Kami tetap akan segera membuka ibu pejabat parti walaupun tekanan daripada pihak tertentu itu semakin bertambah. Kalau parti lain boleh membuka pejabat atau markaz, mengapa pemimpin tertentu itu terlalu takut dengan Keadilan?” menurut sumber itu lagi.

Blog Parit Sulong juga sempat menghubungi Naib Ketua Bahagian yang baru, Zailan Abdul Hamid bagi mengesahkan perkara berkenaan.

Menurut Zailan [foto sebelah] , beliau memang ada menerima laporan tersebut dan kesal dengan tindakan politik ugut yang cuba dibuat oleh pihak yang berkenaan.

“Satu-satunya cara untuk menghalang Keadilan daripada berkembang adalah dengan menggunakan ugutan, atas apa juga cara. Ini menunjukkan Umno-BN memang tertekan dan takut dengan perjuangan Keadilan,” kata Zailan.

Difahamkan, ibu pejabat berkenaan di kawasan Perindustrian Sri Sulong itu sangat strategik kerana kurang lima ratus meter daripada Sekolah Menengah Teknik yang akan menjadi pusat penamaan calon dalam Pilihanraya Umum.

Sebahagian besar kawasan perindustrian berkenaan dibangunkan oleh syarikat milik bekas Ketua Bahagian Umno, (allahyarham) Tan Sri Ridzuan Salim pada pertengahan 1990-an dan dirasmikan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tatkala banjir besar yang melanda sebahagian besar Negeri Johor lebih sebulan lalu, Anwar juga sempat turun dan meninjau beberapa kawasan yang dilanda banjir dan menemui mangsa banjir di pusat perpindahan sementara.

Blog Parit Sulong masih mencuba menghubungi Ketua Bahagian, Hasmi, untuk mendapatkan ulasan kerana beliau kini dikhabarkan berada di Melaka bagi menghadiri Temu-rapat yang menghimpunkan ketua-ketua bahagian daripada tiga Negeri Selatan pada 10 dan 11 Mac.

[kembali ke halaman utama]