Saturday, May 27, 2006

Arahan adakan pilihanraya kecil di Johor ~ Azmin

OLEH Sabran Musa

Parit Sulong (26 Mei 2006) ~ Johor, negeri kubu kuat Umno, menunggu hari untuk diadakan satu pilihanraya kecil mengejut apabila pihak Putrajaya dikhabarkan sudah mengarahkan agar satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan berikutan skandal seks.

Naib Presiden Keadilan (keADILan), Saudara Azmin Ali ketika mendedahkan perkara ini berkata, Pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), Abdullah Ahmad Badawi dikatakan sudah mengeluarkan arahan agar DUN berkenaan dikosongkan untuk menjaga dan 'membersihkan' nama Umno dan BN di mata rakyat Johor.

"Saya mendapat maklumat daripada Putrajaya agar kerusi berkenaan dikosongkan akibat daripada skandal seks yang khabarnya berlaku di peringkat pimpinan tertinggi Umno negeri Johor," Kata Azmin dalam pidato "Untuk kebangkitan Johor" dekat ini. Program pidato berkenaan dianjurkan oleh keADILan bahagian Parit Sulong.

Namun begitu, menurut Azmin lagi, adalah tidak adil sekiranya hanya seorang ADUN BN yang juga Exco kerajaan negeri diminta mengosongkan kerusinya sedangkan skandal berkenaan melibatkan dua pihak iaitu pimpinan tertinggi Umno negeri. Azmin bagaimana pun tidak mendedahkan nama kedua-dua pemimpin Umno tersebut bagi memberi peluang kepada Abdullah untuk membuktikan kata-katanya yang mahukan negeri ini ditadbir oleh ahli politik yang benar-benar bersih.

"Kita minta kedua-dua kerusi dikosongkan, barulah adil. Apakah pemimpin yang sebegini teruk akhlaknya boleh diberikan kepercayaan dan amanah oleh rakyat untuk mentadbir negeri?" tambah Azmin Ali. Pidato Azmin di Markaz Tarbiyah Parit Sempadan dekat Semerah juga dihadiri oleh ahli-ahli Umno peringkat bawah. Sekalipun hujan lebat di sebelah petang membawa renyai-renyai sehingga ke sebelah malam, namun lebih 1500 orang datang mendengar amanat dan pidato daripada Azmin.

Selain itu, Azmin turut mempersoal kewibawaan wakil-wakil rakyat BN di kawasan Parit Sulong yang tidak ada keberanian untuk menegur pemimpin tertinggi BN yang tidak konsisten dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan kepentingan negara. Azmin memberi contoh, dalam isu "jambatan bengkok" tidak ada seorang pun ahli parlimen BN yang mempunyai pandangan berbeza dengan Abdullah.

"Baru dua minggu sebelum kerajaan mahu meneruskan projek jambatan bengkok, ahli parlimen BN termasuk wakil rakyat Parit Sulong, Syed Hood menyokong. Dua minggu kemudian, apabila Abdullah batalkan, semua sokong dibatalkan. Saya hendak tanya, adakah Syed Hood, Aris dan Ahmad Zahari berani menegur Abdullah? Mereka tidak akan berani," kata Azmin.

Pemimpin yang penakut dan tidak berprinsip sebegini menurutnya lagi tidak boleh diharap dan tidak perlu diberi kepercayaan untuk memerintah dan mentadbir negari.

Sebelum majlis pidato pada sebelah malam, Azmin turut mengadakan pertemuan tertutup [gambar sebelah] dengan pemimpin tertinggi keADILan dan Pas dalam Parlimen Parit Sulong. Beliau juga sempat menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga miskin di Kampung Muhibah, Peserai sebelum menunaikan sholat Maghrib di Masjid Batu Pahat. Beliau dapat melihat sendiri bagaimana dalam Parlimen ini masih ada keluarga miskin dan keadaan ini bertentangan dengan kenyataan Syed Hood yang sebelumnya mendakwa tidak ada lagi keluarga daif di bawah kawasan Parlimen beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Program, Hasmi Hashim dalam ucapannya berkata, beliau percaya bahawa kawasan Parlimen Parit Sulong berpotensi untuk menjadi kubu kuat keADILan bersama parti-parti pembangkang lainnya dalam rangka menyusun satu kebangkitan menyeluruh rakyat Johor.

"Saya beberapa kali ditawarkan jawatan di negeri lain, termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur. Tetapi, saya percaya Johor boleh. Saya lebih suka melakukan perubahan di negeri yang paling sukar dan dianggap sebagai kubu kuat Umno, dan saya pilih Parit Sulong," katanya.

Menurut Hasmi lagi, sekiranya BN di Parit Sulong boleh ditumbangkan, maka, seluruh BN di negeri ini boleh ditumbangkan sebelum melarat ke negeri-negeri lain di Selatan tanahair."Kalau Johor boleh tumbang, satu negara BN akan tumbang. Itu kerja dan tugas kita sekarang untuk membawa perubahan ke arah kebaikkan kepada semua," kata Hasmi lagi.

Turut berucap di majlis berkenaan ialah Exco Angkatan Muda pusat, Amiruddin Shaari dan Yang Di-Pertua Pas Kawasan Parit Sulong, Haji Sobri Omar.

[kembali ke halaman utama]

Sunday, May 21, 2006

Azmin akan gegar Parit Sulong

Parit Sulong (21 Mei 2006) - Selepas membantu calon-calon Parti Keadilan Rakyat (keADILan) untuk memberi sanginan sengit kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Negeri Sarawak, Naib Presiden keADILan, Saudara Azmin Ali akan mengadakan lawatan kerja selama sehari di kawasan Parlimen Parit Sulong pada 26 Mei (Jumaat) ini.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan tertutup dengan para pemimpin keADILan dan Pas sejurus sahaja tiba dari Kuala Lumpur jam 4.30 petang. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Program, Saudara Hasmi Hashim, lawatan Azmin merupakan julung kali diadakan dan dikira tepat pada masanya terutama ketika penduduk di kawasan Parlimen ini begitu dahagakan matlumat selain 'rahsia' kemenangan calon keADILan buat pertama kalinya di kerusi DUN Padungan, Sarawak.

"Sudah sebulan kami mengatur program ini dan bermesyuawarah dengan pemimpin-pemimpin dan tokoh masyarakat di semua peringkat. Jentera keADILan yang didokong teman-teman daripada Pas kawasan sudah siap sedia untuk menyambut pimpinan tertinggi parti," Kata Hasmi.

Selepas taklimat tertutup, Azmin juga dijadualkan menyampaikan bantuan kepada keluarga miskin di sebuah kampung dekat sini. Beliau akan bersama-sama menunaikan sholat Maghrib di Masjed Jamek Batu Pahat sebelum mengakhiri jadual lawatan beliau dengan memberikan pidato penting di Markaz Tarbiyah Parit Sempadan, dekat Semerah.

Menurut pihak penganjur lagi, kira-kira 3 ribu orang dijangka akan menghadiri program pidato berkenaan. Selain Azmin, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Saudara Mahfuz Omar juga dijadual hadir untuk menyampaikan ucapannya. Ketika ini, bena, poster dan selebaran sudah pun tergantung dan bertebaran di sekitar kawasan Semerah, Simpang Lima, Peserai, Pekan Parit Sulong, Sri Medan dan beberapa tempat di bandar Batu Pahat.

Tema pidato Azmin kali ini ialah "Untuk Kebangkitan Johor" sebagai satu garis penting kepada perjuangan masyarakat setempat terutamanya petani, nelayan, peniaga kecil dan golongan bawahan. Selain itu, Azmin juga dijangkan menekankan strategi keADILan dalam rangka menyusun satu program besar kebangkitan seluruh rakyat Johor menentang BN. Menurut pengajur lagi, Johor sebagai 'kubu' kuat Umno boleh ditumbangkan bermula daripada Parlimen Parit Sulong memandangkan sokongan yang semakin baik kepada perjuangan keADILan terutama selepas bebasnya Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pulang dan mula menetap dalam negara daripada Amerika mulai 6 Mei lalu. Kepulangan Anwar itu juga disifatkan banyak pihak sebagai usaha untuk "menggempur BN dari dalam."

"Ini hanya permulaan dan persiapan awal untuk BA Parit Sulong bagi menghadapi Pilihanraya Umum akan datang. KeADILan dan Pas wajar bekerja mulai sekarang untuk menempa kemenangan sepertimana di Padungan, Sarawak. Ini tidak mustahil," tambah Hasmi lagi.

[kembali ke halaman utama]