Sunday, May 21, 2006

Azmin akan gegar Parit Sulong

Parit Sulong (21 Mei 2006) - Selepas membantu calon-calon Parti Keadilan Rakyat (keADILan) untuk memberi sanginan sengit kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Negeri Sarawak, Naib Presiden keADILan, Saudara Azmin Ali akan mengadakan lawatan kerja selama sehari di kawasan Parlimen Parit Sulong pada 26 Mei (Jumaat) ini.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan tertutup dengan para pemimpin keADILan dan Pas sejurus sahaja tiba dari Kuala Lumpur jam 4.30 petang. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Program, Saudara Hasmi Hashim, lawatan Azmin merupakan julung kali diadakan dan dikira tepat pada masanya terutama ketika penduduk di kawasan Parlimen ini begitu dahagakan matlumat selain 'rahsia' kemenangan calon keADILan buat pertama kalinya di kerusi DUN Padungan, Sarawak.

"Sudah sebulan kami mengatur program ini dan bermesyuawarah dengan pemimpin-pemimpin dan tokoh masyarakat di semua peringkat. Jentera keADILan yang didokong teman-teman daripada Pas kawasan sudah siap sedia untuk menyambut pimpinan tertinggi parti," Kata Hasmi.

Selepas taklimat tertutup, Azmin juga dijadualkan menyampaikan bantuan kepada keluarga miskin di sebuah kampung dekat sini. Beliau akan bersama-sama menunaikan sholat Maghrib di Masjed Jamek Batu Pahat sebelum mengakhiri jadual lawatan beliau dengan memberikan pidato penting di Markaz Tarbiyah Parit Sempadan, dekat Semerah.

Menurut pihak penganjur lagi, kira-kira 3 ribu orang dijangka akan menghadiri program pidato berkenaan. Selain Azmin, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Saudara Mahfuz Omar juga dijadual hadir untuk menyampaikan ucapannya. Ketika ini, bena, poster dan selebaran sudah pun tergantung dan bertebaran di sekitar kawasan Semerah, Simpang Lima, Peserai, Pekan Parit Sulong, Sri Medan dan beberapa tempat di bandar Batu Pahat.

Tema pidato Azmin kali ini ialah "Untuk Kebangkitan Johor" sebagai satu garis penting kepada perjuangan masyarakat setempat terutamanya petani, nelayan, peniaga kecil dan golongan bawahan. Selain itu, Azmin juga dijangkan menekankan strategi keADILan dalam rangka menyusun satu program besar kebangkitan seluruh rakyat Johor menentang BN. Menurut pengajur lagi, Johor sebagai 'kubu' kuat Umno boleh ditumbangkan bermula daripada Parlimen Parit Sulong memandangkan sokongan yang semakin baik kepada perjuangan keADILan terutama selepas bebasnya Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pulang dan mula menetap dalam negara daripada Amerika mulai 6 Mei lalu. Kepulangan Anwar itu juga disifatkan banyak pihak sebagai usaha untuk "menggempur BN dari dalam."

"Ini hanya permulaan dan persiapan awal untuk BA Parit Sulong bagi menghadapi Pilihanraya Umum akan datang. KeADILan dan Pas wajar bekerja mulai sekarang untuk menempa kemenangan sepertimana di Padungan, Sarawak. Ini tidak mustahil," tambah Hasmi lagi.

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home