Saturday, June 16, 2007

Dua Beranak mati Lemas

Dipetik daripada Berita Harian

BATU PAHAT: Seorang ibu yang cuba menyelamatkan anaknya berusia dua tahun daripada lemas di sebuah parit ketika banjir kilat di depan rumah mereka di Kampung Parit Kuda Darat, Semerah, semalam turut dibawa arus deras.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Linda Azura Saliman, 25, cuba menyelamatkan anaknya, Mohd Haikal Azuddin, yang dibawa arus selepas terjatuh dalam parit berkenaan. Sebelum itu, Mohd Haikal bermain atas jambatan bersama kakaknya, Siti, 4.

Linda Azura, yang kebetulan mencari dua anaknya itu, terjun ke parit berkenaan untuk menyelamatkan Mohd Haikal, tetapi lemas dibawa arus deras.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata Linda Azura sempat menjerit meminta tolong dan beberapa penduduk yang terdengar jeritannya bergegas ke tempat kejadian.

“Orang ramai yang melihat Mohd Haikal dihanyutkan arus dan tersangkut atas jambatan yang dinaiki air kira-kira 50 meter dari tempatnya jatuh berusaha memberikan pertolongan cemas kepada kanak-kanak itu tetapi gagal.

“Mayat Linda Azura ditemui di dasar parit kira-kira 100 meter dari tempat dia terjatuh oleh anggota penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jam 6.25 petang,” katanya.

Linda Azura, meninggalkan dua anak, seorang perempuan berusia empat tahun dan seorang lelaki berusia setahun.

Beberapa kawasan di daerah ini termasuk Kampung Parit Kuda Darat dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira tiga jam bermula 10 pagi semalam. Kawasan lain ialah Kampung Petani, Taman Wawasan dan Jalan Tanjung Laboh.

Banjir kilat itu yang kedua dalam tempoh seminggu dan semalam adalah terburuk sehingga Pejabat Daerah membuat persediaan membuka pusat pemindahan di Kompleks Penghulu, Sekawan Desa dan Bagan. Bagaimanapun, sehingga lewat petang semalam, difahamkan tiada penduduk dipindahkan kerana banjir cepat surut.

Sementara itu, adik Linda Azura, Juliza, 19, berkata ketika kejadian itu beliau berada di rumah kawannya dan menerima panggilan daripada seorang penduduk.

[kembali ke halaman utama]